



















Pada 12 Jun 2025, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) telah bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam penganjuran Program Derma Darah yang berlangsung di 816 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pangkalan Udara Butterworth. Program ini diadakan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah teras Sinar Sejahtera, sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang diraikan setiap 14 Jun.
Objektif utama program ini adalah untuk menyumbang kepada peningkatan bekalan darah di Hospital Seberang Jaya selain memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat dan warga pertahanan. Program ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan sejumlah 100 pek darah berjaya dikumpulkan. Kehadiran Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Tan Lai Hock TUDM menyerikan majlis apabila beliau turut menyantuni para penderma dan petugas yang terlibat.
Sebagai tanda sokongan kepada kemudahan kesihatan di RSAT, JKSB turut menyerahkan sumbangan peralatan seperti peranti AED (Automated External Defibrillator), kerusi roda, dan set tekanan darah, bagi memperkukuh fasiliti dan sokongan rawatan kecemasan. Kerjasama strategik ini membuktikan komitmen JKSB dalam mempererat hubungan dengan institusi pertahanan serta memainkan peranan aktif dalam menyokong kesejahteraan komuniti setempat.



