






JKSB melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records atas pelaksanaan Sistem Pengurusan Trafik Kecerdikan Buatan (AI) Pintar di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS). Pengiktirafan tersebut mengangkat JKSB sebagai organisasi yang melaksanakan teknologi AI paling banyak di jambatan lebuh raya, serta jambatan lebuh raya pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi AI bagi operasi lebuh raya.
Majlis penyampaian anugerah telah diadakan di Iconic Marjorie, Bayan Lepas dan disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow. Turut hadir bersama untuk menyaksikan majlis pengiktirafan anugerah Malaysia Book of Records ialah YBhg. Dato’ Ir. Sazali bin Harun, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); YBhg. Dato’ Haji Abdul Malik bin Abul Kassim, Pengerusi JKSB; Mr Levi Wen, Pengarah Urusan Dahua Technology Malaysia; dan Mr Christopher Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records, serta wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat konsesi lebuh raya dan pemegang taruh industri.
Sistem yang dibangunkan melalui kerjasama Dahua Technology Malaysia dan YCS Technology Solution ini memperkukuh pemantauan trafik, meningkatkan kecekapan tindak balas insiden, serta menyokong prestasi operasi jambatan secara lebih pintar dan proaktif.
Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan, malah menjadi bukti iltizam JKSB dalam memacu inovasi infrastruktur pintar demi keselamatan pengguna, kelancaran trafik dan daya saing ekonomi Pulau Pinang. Selaras dengan visi Penang2030, JKSB akan terus memperkasa teknologi dan keupayaan operasi bagi memastikan JSAHMS kekal sebagai infrastruktur strategik yang moden, selamat dan bersedia untuk masa hadapan.




