











19 November 2025 menjadi detik yang cukup istimewa dan penuh semangat buat warga JKSB apabila selebriti terkenal, Alif Satar, berkunjung ke Pejabat Operasi JKSB.
Kehadiran beliau adalah bagi menjayakan penggambaran dokumentari High Damping Natural Rubber Bearing (HDNRB) anjuran Lembaga Getah Malaysia (LGM) sempena Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah LGM. Sebagai Duta LGM, Alif Satar tampil mempromosikan teknologi dan produk berasaskan getah negara, dan pada masa yang sama turut mengetengahkan keindahan serta kecanggihan infrastruktur JSAHMS kepada para peminat di seluruh negara. Aura positif dan keramahan beliau turut memberi suntikan motivasi kepada warga JKSB yang terlibat pada hari tersebut.
HDNRB yang dipasang di JSAHMS merupakan antara teknologi berimpak tinggi LGM dan menjadi pencapaian penting apabila diaplikasikan pada salah satu projek mega negara. Pemasangan HDNRB ini menyokong ketahanan struktur jambatan, termasuk keupayaan menahan gegaran sehingga 7.5 skala Richter. LGM turut terlibat secara aktif dari aspek reka bentuk, pemantauan kualiti, serta khidmat konsultasi kejuruteraan sepanjang pembinaan JSAHMS.
Pihak syarikat juga turut merakamkan penghargaan kepada LGM dan Alif Satar atas liputan khas yang telah dilaksanakan sempena sambutan yang amat bermakna buat LGM. Semoga kolaborasi antara JKSB dan LGM ini terus membawa impak positif kepada industri tempatan serta memperkukuh penerimaan teknologi tempatan di dalam dan luar negara.




