Majlis Perasmian Ops Gerak Kenderaan Bermotor Peringkat Kebangsaan

01
02
03
04
05
06
07
08

Batu Kawan, 6 April 2026 — Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dengan kerjasama Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dan agensi-agensi penguat kuasa berkaitan telah menjayakan Majlis Pelancaran Minggu Operasi Gerak Kenderaan Motor, Operasi Refrigeran dan Ops Gempur Peringkat Kebangsaan di Hentian Sebelah, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).

Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Rosli Zul, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar, dan turut dihadiri oleh Tuan Badlishah bin Ahmad, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Tuan Ir. Muhamad Syarizal Zin Azman, Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Wilayah Utara, serta Encik Hussin Mohammad, Ketua Divisyen Operasi JKSB selaku wakil tuan rumah.

Penganjuran program ini mencerminkan kerjasama erat antara JAS, JKSB dan agensi-agensi penguat kuasa dalam menjayakan inisiatif penguatkuasaan alam sekitar serta meningkatkan kesedaran awam ke arah persekitaran yang lebih bersih dan lestari.

Ketiga-tiga operasi ini mencerminkan komitmen berterusan JAS dalam memperkukuh penguatkuasaan alam sekitar menerusi pemeriksaan pelepasan asap kenderaan, pengurusan refrigeran bagi melindungi lapisan ozon serta pemeriksaan premis yang berpotensi mencemar alam sekitar, demi memelihara kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.