











8 Ogos 2026, Batu Kawan – Acara Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge 2026 anjuran bersama Koperasi LLM Berhad (KLLMB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah berjaya dianjurkan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).
Majlis telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, yang turut melepaskan para peserta bagi kategori larian utama serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR); YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha KKR; YBrs. Ir. Mohd. Hadzmir Yusoff, Ketua Pengarah LLM; YBhg. Dato’ Idrus Mat Tais, Pengerusi KLLMB; serta YBhg. Dato’ Faisal Shahbudin, Ketua Pegawai Eksekutif Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).
Penganjuran acara ini bukan sahaja menyemarakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah untuk memperkukuh silaturahim, semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan warga kerja, komuniti serta peserta daripada pelbagai latar belakang.
Keunikan acara turut diserikan menerusi Pameran Rumah KAMI oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), yang mengetengahkan kepelbagaian kaum, budaya dan warisan Malaysia. Pengisian ini mencerminkan semangat bahawa perbezaan menjadi kekuatan yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
Pengalaman berlari di atas JSAHMS pada waktu malam pula memberikan satu kenangan istimewa kepada para peserta, di samping menonjolkan keindahan serta keunggulan infrastruktur lebuh raya negara.


