Majlis Peluncuran MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan Tahun 2026

zc102703
zc102619
zc102620
zc102611
zc102670
zc102602
zc102605
zc102607
zc102608

Bagan Datuk, 9 Mei 2026 — Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) telah menerima sijil penghargaan daripada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, bersempena Majlis Peluncuran MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Bagan Datuk, Perak.

Sijil penghargaan tersebut telah diterima oleh YBhg. Dato’ Haji Abdul Malik bin Abul Kassim, Pengerusi JKSB, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen JKSB dalam menyokong dua program pendidikan berimpak tinggi di bawah Yayasan Pelajaran MARA (YPM), menerusi inisiatif MARA Prihatin.

MARA Prihatin 2026 merupakan inisiatif berskala nasional yang menghimpunkan pelbagai usaha pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti melalui kerjasama strategik antara Yayasan Pelajaran MARA (YPM), GiatMARA, Rural Capital Berhad (RCB), Institusi Pendidikan MARA (IPMA), rakan industri serta sektor korporat.

Dua program pendidikan tajaan JKSB ialah Program Tuisyen Pintar YPM @ KKDW dan Program Selangkah ke Universiti. Program Tuisyen Pintar YPM @ KKDW merupakan kelas bimbingan akademik kepada pelajar Tingkatan 5 daripada sekolah harian biasa di sekitar MRSM atau Sekolah Berprestasi Tinggi yang terpilih.

Program ini akan dilaksanakan di MRSM Balik Pulau sebagai pusat pelaksanaan program, dengan penglibatan guru pakar mata pelajaran serta konsep mentor mentee bersama pelajar cemerlang MRSM atau Sekolah Berprestasi Tinggi bagi membantu peserta meningkatkan pencapaian akademik dan persediaan menghadapi peperiksaan.

Sementara itu, Program Selangkah ke Universiti bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai hala tuju pendidikan, pemilihan kerjaya serta persediaan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan JKSB dalam memperkukuh agenda tanggungjawab sosial korporat, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan pelajar dan pembinaan masa depan generasi muda. Inisiatif ini juga selaras dengan hasrat JKSB untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui program yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.