











Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) menjadi saksi kemeriahan CIMB ASEAN Cultural Night Run 2025 (CIMB ACNR 2025) yang menyaksikan penyertaan kira-kira 4,000 peserta pada 16 Ogos 2025. Acara larian waktu malam ini diadakan bersempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Program ini membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang mencerminkan aspirasi negara dalam membina komuniti ASEAN yang bersatu dan lestari. Bermula jam 8:00 malam, peserta melalui jambatan terpanjang di Malaysia tersebut menerusi tiga kategori utama: 21km (Separuh Maraton), 10km, dan 5km Fun Run.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat, acara ini turut menawarkan pengalaman unik kepada para peserta untuk menikmati keindahan panorama malam Pulau Pinang dari atas jambatan, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat tempatan dan serantau.



