







Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba beberapa hari lagi, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) meneruskan komitmen menyantuni komuniti setempat menerusi pelaksanaan program sumbangan bakul makanan bagi tiga (3) perayaan utama negara, bermula dengan Tahun Baharu Cina, diikuti Hari Raya Aidilfitri dan seterusnya Deepavali. Program ini dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang.
Program penyerahan bakul makanan bersempena Tahun Baharu Cina ini merupakan pembuka tirai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JKSB bagi tahun 2026 dan memberi fokus terhadap bantuan kepada komuniti berbilang kaum di Pulau Pinang. Inisiatif ini turut mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia, apabila masyarakat saling menyantuni tanpa mengira latar belakang, budaya dan kepercayaan.
Majlis penyerahan bakul makanan telah disempurnakan oleh Pengerusi JKSB, Dato’ Haji Abdul Malik Abul Kassim, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Dato’ Faisal Shahbudin, bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif, Puan Chithartany a/p Rajalinggam.


