Corporate Social Responsibility

Program CSR Sumbangan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak sempena Kampung Angkat Madani Jabatan Kebajikan Masyarakat 2026

Nibong Tebal, Pulau Pinang, 26 September 2026 – Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) telah menyalurkan sumbangan bagi menyokong pelaksanaan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak sempena Kampung Angkat MADANI Jabatan Kebajikan Masyarakat Tahun 2026, anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang (JKMNPP).

Program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Sungai Setar, Nibong Tebal itu disempurnakan oleh YBhg. Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Integriti & Governans JKSB, Encik Muhamad Nor Anazim bin Rejab bersama kakitangan JKSB, wakil JKMNPP serta pelbagai agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain menyumbang kepada keperluan pelaksanaan program, JKSB turut membawa Bridge Inspection Vehicle (BIV), sebuah jentera penyelenggaraan yang digunakan dalam kerja rutin pemeriksaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) sebagai sebahagian daripada pameran dan demonstrasi kepada peserta. Peluang melihat dari dekat dan menaiki BIV memberikan pengalaman unik kepada kanak-kanak untuk mengenali aspek operasi serta penyelenggaraan sebuah jambatan berskala besar.

Penglibatan JKSB turut diperkukuh menerusi sesi perkongsian kerjaya dan motivasi oleh Ketua Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran JKSB, Dr. Muhammad Hafiz bin Hamzah. Sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan mengenali potensi diri, membina keyakinan serta merancang masa hadapan melalui pendidikan dan pembangunan diri.