











Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah menganjurkan Kempen Jom Selamat bersama Agensi Penguat Kuasa dan Penyelamat sempena Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda penghargaan kepada para petugas barisan hadapan.
Kempen ini telah dirasmikan oleh Pengerusi JKSB, Dato’ Haji Abdul Malik bin Abul Kassim. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Dato’ Faisal bin Shahbudin, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pulau Pinang, Tuan Zulkifly bin Ismail serta Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Pulau Pinang, DSP Ahmad Tarhizi bin Omar. Kehadiran Kelab Kereta Proton S70 turut menyerikan program ini sebagai tanda sokongan komuniti pengguna jalan raya terhadap budaya pemanduan yang berhemah dan selamat.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif keselamatan di bawah teras Sinar Sejahtera, JKSB turut mengedarkan 5 in 1 Emergency Torchlight kepada pengguna kenderaan kelas satu (1) dan motosikal sebagai langkah persediaan awal sekiranya berlaku kecemasan di jalan raya. Peralatan ini dilengkapi pelbagai fungsi asas seperti pencahayaan, isyarat amaran serta fungsi memecahkan cermin kenderaan sekiranya berlaku situasi kecemasan.


