







Bertemakan “One Drop of Humanity. Give Blood. Save Lives.” sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2026, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) telah menganjurkan Kempen Derma Darah JKSB Kali Ke-6 dengan kerjasama Unit Perubatan Transfusi Hospital Seberang Jaya.
Setakat jam 2.30 petang, kempen ini berjaya mengumpul sebanyak 86 beg darah, hasil sokongan warga kerja JKSB, rakan strategik serta orang awam yang hadir bersama-sama menjayakan usaha murni ini.
Setiap beg darah yang didermakan berpotensi membantu menyelamatkan sehingga tiga nyawa, sekali gus menjadikan sumbangan ini amat bermakna kepada pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, pembedahan, rawatan kanser, talasemia serta transfusi darah secara berkala.
JKSB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Unit Perubatan Transfusi Hospital Seberang Jaya atas kerjasama, komitmen dan sokongan berterusan dalam memastikan kempen derma darah ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Penghargaan turut diberikan kepada semua penderma, petugas kesihatan, sukarelawan serta semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan kempen ini.
Sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat, JKSB berharap kempen derma darah ini dapat terus dijadikan acara tahunan dalam usaha menyokong keperluan bekalan darah negara serta memupuk budaya prihatin dalam kalangan masyarakat.
Derma darah, selamatkan nyawa.



