Pada 21 November 2024, YBhg. Dato’ Ir. Sazali bin Harun, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), telah mengetuai delegasi Majlis Bersama Jabatan (MBJ) LLM dalam sesi perkongsian ilmu berkaitan kerja-kerja pemantauan dan penyenggaraan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).
Sesi perkongsian ini diadakan di Pejabat Operasi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dan memberi tumpuan kepada prosedur penyelenggaraan berkala serta teknologi terkini yang digunakan dalam memastikan keselamatan dan ketahanan struktur jambatan.
Selepas sesi tersebut, delegasi MBJ LLM telah mengadakan lawatan tapak dengan menaiki bot ke tiang ke-100 untuk meninjau secara langsung kerja-kerja pemeriksaan struktur bawah laut (underwater inspection) di JSAHMS. Pemeriksaan ini dijalankan oleh pakar struktur menggunakan kaedah Remotely Operated Vehicle (ROV), yang membolehkan analisis terperinci dan menyeluruh terhadap integriti struktur di bawah permukaan air.
Lawatan ini memperkukuh kerjasama antara LLM dan JKSB dalam memastikan aspek keselamatan dan penyelenggaraan jambatan sentiasa berada pada tahap terbaik.