JKSB telah menyantuni dan meraikan seramai 45 orang anak-anak asnaf dari Pusat Jagaan Inapan Kasih Sayang, Kepala Batas, Pulau Pinang. Ia menerusi program Shopping Spree atau membeli belah sempena Hari Raya Aidilfitri yang diadakan pada 27 Mac yang lalu di Mydin Bukit Jambul, Pulau Pinang.
Majlis telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Dato’ Faisal bin Shahbudin. Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan & Kawalan Standard JKM, Encik Rislan bin Ishak dan Penolong Pengurus Hal Ehwal Pelajar Inapan Kasih Sayang, Puan Farhah Zaidah binti Md Toha.
Menurut Dato’ Faisal, JKSB sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. Hal ini termasuk membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan, memberi fokus terhadap kesihatan dan keselamatan dan membangunkan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.
Tambah Dato’ Faisal, Program Shopping Spree ini telah diadakan pada setiap tahun di bulan Ramadan bermula pada tahun 2021. Program ini dijalankan bagi membeli kelengkapan dan pakaian raya anak-anak asnaf dan yatim yang dikenal pasti, di pusat membeli belah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Tahun ini merupakan tahun yang istimewa kerana Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) sudah genap 10 tahun pembinaannya.
Bersempena ulang tahun JSAHMS yang ke-10, selepas selesai sesi membeli-belah, anak- anak ini turut dibawa ke Perkarangan Pejabat Operasi JKSB, Pulau Pinang bagi majlis berbuka puasa bersama pihak pengurusan dan kakitangan JKSB serta turut diraikan dengan kehadiran wakil media dari seluruh Pulau Pinang.